ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT IBAN DI SARAWAK
Masyarakat Iban di Sarawak merupakan etnik majoriti di Sarawak, Bumi
Kenyalang. Seperti masyarakat peribumi yang lain, masyarakat Iban
Sarawak juga kaya dengan adat dan warisan budaya yang masih dipegang
zaman berzaman lamanya. Adat perkahwinan di dalam masyarakat Iban juga
antara yang terunik kerana terdapat beberarap peraturan yang harus
dilakukan sebelum layak bergelar suami isteri. Bagi masyarakat Iban
disinilah bermulalah kesinambungan generasi yang akan datang jadi adalah
wajar ianya dilakukan dengan sebaik mungkin dan beradat.
Dalam masyarakat Iban, usia pengantin lelaki memainkan sentimen
yang paling utama untuk diambilkira kerana disinilah letaknya samada
pengantin lelaki itu boleh memikul tanggungjawab yang besar di dalam
keluarga. Usia untuk pengantin lelaki masyarakat Iban sebaik-baiknya
hendaklah melebihi 22 tahun. Melihat kepada faktor usia ini boleh
dikatakan pengantin lelaki ini sudah pun akal baligh ataupun matang.
Bagi pengantin perempuan masyarakat Iban, tiada pula had umur yang
ditetapkan. Satu perkahwinan yang sempurna bagi masyarakat Iban adalah
satu perkahwinan yang telah mengikut dan mematuhi kehendak adat.
Masyarakat Iban mempercayai sekiranya ada mana-mana adat perkahwinan
yang tidak diikuti maka adalah wajib untuk keluarga pengantin membayar
denda bagi mengelakkan pasangan suami isteri ini nanti ditimpa
musibah.Terdapat beberapa peringkat tertentu di dalam adat perkahwinan
masyarakat Iban Sarawak iaitu peringkat merisik, meminang, bertunang,
majlis perkahwinan dan selepas majlis perkahwinan.
ADAT MERISIK
Adat merisik dalam masyarakat iban, kebiasaannya perkahwinan ditentukan
oleh keluarga pengantin lelaki. Sekiranya seorang teruna itu telah
berkenan dengan seorang dara maka adalah perlu untuk si teruna meluahkan
hasrat hati dengan keluarganya bagi memohon persetujuan. Apabila
keluarga si teruna sudah merestui maka adalah wajar untuk keluarganya
bertandang ke rumah si dara untuk adat merisik. Perjumpaan kedua-dua
keluarga ini juga dikenali sebagai berbunga-bunga atau berjarum-jarum.
Dalam perjumpaan inilah kedua-dua keluarga akan berbincang tentang
syarat-syarat perkahwinan seperti penentuan berian dan sebagainya.
Sekiranya kata sepakat sudah didapati barulah pihak keluarga si teruna
akan menghantar rombongan untuk ADAT MEMINANG si dara dengan secara
rasmi.
ADAT MEMINANG DAN BERTUNANG
Bagi ADAT MEMINANG dan BERTUNANG masyarakat Iban Sarawak
kebiasaannya pihak keluarga si teruna akan membawa rombongan yang tidak
kurang daripada 5 – 20 orang yang terdiri daripada orang-orang tua di
dalam keluarga si teruna. Pada masa ini, syarat-syarat perkahwinan akan
ditentukan serta diperjelaskan secara terperinci. Ini termasuklah soal
mas kahwin serta lain-lain perkara yang berkaitan. Jika kata sepakat
sudah diambil, ayahanda si teruna akan menanggalkan lapit atau ikan
pinggang perak atau sebilah pedang sebagai tanda pertunangan.
Kebiasaannya yang akan menerima bagi pihak si dara adalah ayahanda si
dara atau mereka yang lebih berusia di dalam keluarga si dara. Jika
sudah disambut segala ini maka barulah kedua-dua keluarga boleh
memulakan perbincangan untuk majlis perkahwinan seperti tarikh dan
bentuk majlis yang akan diadakan nanti. Mulai saat ini, si dara sudah
secara rasminya tunangan kepada si teruna dan si dara tidak boleh lagi
menerima kunjungan teruna yang lain selain daripada tunangannya sendiri.
Bagi keluarga si teruna pula adalah perlu untuk mereka memberitahu
kepada sanak-saudara dan jiran tetangga mereka mengenai pertunangan anak
mereka. Tiada tempoh yang khusus untuk durasi pertunangan ini tetapi
menurut masyarakat Iban adalah lebih baik sekiranya majlis perkahwinan
dipercepatkan untuk mengelak benda-benda yang tidak diingini daripada
berlaku.
MAJLIS PERKAHWINAN
Majlis PERKAHWINAN bagi adalah kemuncak kepada perjalanan satu
pasangan teruna dan dara bagi menempuh ikatan perkahwinan yang sah dan
beradat. Majlis perkahwinan bagi masyarakat Iban hendaklah diatur dengan
penuh cermat kerana sekiranya ianya melanggar adat maka dipercayai
bencana akan menimpa kepada pasangan pengantin yang baru berkahwin
kelak. Pihak keluarga pengantin lelaki diwajibkan untuk menyediakan
segala kos perbelanjaan perkahwinan ini. Pihak keluarga lelaki juga
dikehendaki untuk menyediakan segala barangan yang harus diberikan
kepada keluarga pengantin perempuan. Di pihak keluarga pengantin
perempuan pula ditugaskan untuk menyediakan pelbagai persiapan majlis
perkahwinan seperti binatang untuk disembelih pada hari perkahwinan
kelak. Bagi urusan mengundang tetamu, kedua-dua keluarga pengantin
lelaki dan perempuan akan melantik wakil masing-masing untuk menguruskan
jemputan perkahwinan. Wakil kedua-dua keluarga pengantin akan membawa
beberapa utas tali bersimpul sewaktu mengunjungi rumah tetamu yang
dijemput. Beberapa utas tali bersimpul ini melambangkan berapa hari lagi
majlis perkahwinan akan berlangsung. Contohnya sekiranya tali itu
mempunyai 5 simpulan bermakna majlis perkahwinan akan berlangsung di
dalam tempoh masa 5 hari lagi. Wakil pengantin kebiasaannya akan
memberikan tali bersimpul itu kepada tuai rumah yang bertanggungjawab
untuk menghebahkan tentang majlis perkahwinan ini nanti kepada seluruh
anak buah rumah panjangnya.
Menjelang acara perkahwinan dilangsungkan, rombongan pengantin lelaki
biasanya berarak ke rumah panjang pengantin perempuan dengan menaiki
perahu yang dihiasi dengan kain puak kumbu sekiranya melalui jalan
sungai. Jika rombongan ini menggunakan jalan darat samada berkenderaan
atau berjalan kaki, rombongan pengantin lelaki akan memukul gong di
sepanjang perjalanan. Ini bertujuan untuk memeriahkan suasana
perkahwinan serta memberitahu mereka yang disekeliling bahawa rombongan
pengantin lelaki telah sampai. Sebaik sahaja rombongan pengantin lelaki
telah sampai di hadapan rumah pengantin perempuan, tembakan meriam akan
dilepaskan. Semasa bunyi tembakan meriam itu dilepaskan itulah Kepala
rombongan pengantin lelaki akan dijemput untuk menyembelih khinzir
sebagai penghormatan keluarga pengantin perempuan menerima kedatangan
rombongan pengantin lelaki. Di kepala tangga rumah panjang pengantin
perempuan akan disediakan rangka yang berbentuk kota. Ketua rombongan
pengantin lelaki terlebih dahulu terpaksa membuka rangka berbentuk kota
ini yang diletakkan di kepala tangga, di tengah rumah dan di hujung
rumah. Selepas itu maka pengantin lelaki dan pengantin perempuan akan
disatukan dan bermulalah upacara adat yang dilakukan oleh orang tua yang
tertentu. Upacara ini dilakukan untuk memohon restu agar perkahwinan
kedua pengantin ini akan kekal sehingga ke hujung nyawa dan beroleh
rezeki yang berlimpah ruah sepanjang mereka melayari bahtera penghidupan
bergelar suami isteri.
Gambar 1 Menunjukkan kain pua kumbu yang digunakan pengantin
Gambar 2 Menunjukkan pasangan pengantin Iban